Wednesday 30 January 2013

Sinopsis Novel Bukan Duniaku


NOVEL : BUKAN DUNIAKU 

            Halim, seorang remaja yang baru berusia 15 tahun, bekerja sebagai pencuci kereta untuk ketua sindiket haram,iaitu Abang Joe. Kesemua wang hasil kerjanya diserahkan kepada lelaki itu. Abang Joe memeras tenaga remaja yang tidak berumah atau yang lari dari rumah. Dia mengugut mereka supaya melakukan kerja-kerja haram seperti mencuci kereta dan menjaga petak letak kereta. 
            Halim dan rakan-rakan yang sebnasib dengannya ditempatkan di sebuah pondok usang. Di situlah mereka menghabiskan masa pada waktu malam. Halim merebahkan badannya yang lesu akibat melakukan kerja paksaan. Halim bermimpi bahawa dia bertemu dengan ibunya. Dalam mimpi itu, ibu Halim memberitahu Halim bahawa ayahnya amat marah atas tindakan Halim lari dari rumah. Halim menjerit-jerit. Saleh mengejutkan Halim. Saleh berkongsi kisah hidupnya dengan Halim. Saleh terpaksa berhenti sekolah kerana keluarganya hidup susah dan ayahnya tidak mampu menanggung belanja persekolahannya. Saleh ke bandar dengan niat untuk mencari pekerjaan bagi membela nasib mereka sekeluarga. Malangnya, Saleh menjadi mangsa Abang Joe.  Saleh pernah diugut dan dipukul kerana cuba melarikan diri. Halim bersimpati akan nasib yang menimpa Saleh. 
            Seterusnya, Halim berkenalan dengan seorang pemuda yang bernama Fariz. Fariz bertanyakan latar belakang Halim. Bagi Fariz, remaja seperti Halim sepatutnya masih bersekolah. Halim tidak berani berterus terang kepada Fariz tentang keadaan dirinya. Hal ini demikian kerana Halim bimbang kalau-kalau Fariz merupakan orang bawahan  Abang Joe. Oleh sebab itu, Halim telah berbohong kepada Fariz. Halim memberitahu Fariz bahawa  dia tidak mampu ke sekolah kerana dia orang susah dan terpaksa bekerja untuk membantu ayahnya yang kurang upaya. 
            Hubungan saleh dengan Halim semakin akrab. Saleh meminta Halim menceritakan perkara sebenarnya sehingga dia terperangkap di pondok usang itu. Halim pun mula bercerita. Halim mengimbas kembali peristiwa dia lari dari rumah. Halim berkecil hati atas sikap ayah dan ibunya. Halim berasa sangat kecewa apabila ayah dan ibunya terlupa akan hari jadinya. Bagi Halim, ayah dan ibunya terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikannya. Halim nekad untuk keluar dari rumah. Ketika merayau-rayau di ibu kota, Halim hampir-hampir disamun tetapi dia telah diselamatkan oleh Abang Joe. Walau bagaimanapun, Abang Joe bukanlah sebaik yang disangka oleh Halim. Halim kesal kerana bertindak terburu-buru.           
            Pada suatu hari, Halim telah dipukul oleh konco-konco Abang Joe kerana Abang Joe tidak suka Halim berhubung dengan orang luar. Dia bimbang rahsianya mengedar dadah terbongkar. Saleh yang menemani Halim  ke sarang penyembunyian dadah dan ganja itu turut dipukul dengan teruk. Namun begitu, akhirnya Abang Joe dan konco-konconya telah ditangkap oleh polis. Fariz yang kononnya seorang kerani di syarikat swasta sebenarnya adalah pegawai polis dari bahagian narkotik dan jenayah. Halim dan kawan-kawannya yang menjadi mangsa Abang Joe kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. Halim mengutus surat kepada Saleh dan memberitahu kawan baiknya itu bahawa ayahnya akan menanggung belanja persekolahan Saleh.


 
Tema
          Ketabahan hati seorang remaja lelaki dalam menempuh liku-liku kehidupan setelah terperangkap dalam sindiket haram. Halim tabah menempuh dugaan hidup di ibu kota setelah dia termasuk dalam perangkap Abang Joe. Halim tabah meneruskan kehidupan dengan bekerja sebagai pencuci kereta walaupun Abang Joe tidak membayar sebarang upah kepadanya.



Persoalan
1.Kesengsaraan hidup remaja yang menjadi yang menjadi mangsa kumpulan sindiket haram Halim dan rakan-rakannya hidup terkongkong dan terseksa. Abang Joe telah mengarahkan konco-konconya supaya sentiasa mengawasi tindakan Halim dan rakan-rakannya. Sesiapa yang ingkar akan arahan Abang Joe akan dipukul oleh konco-konco Abang Joe.
2.Kekesalan remaja yang bertindak mengikut kata hati. Halim amat kesal atas tindakannya lari dari rumah semata-mata kerana berkecil hati apabila ayah dan ibunya terlupa akan hari jadinya. Sikap terburu-buru Halim itu telah membawa musibah kepadanya.
3.Sikap golongan yang tidak bertanggungjawab yang sanggup mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain demi kepentingan diri. Abang Joe telah memperdayakan Halim dan rakan-rakannya supaya tinggal dengannya. Dia memukul dan mengugut mereka supaya melakukan kerja-kerja haram seperti menjaga petak letak kereta dan mencuci kereta tanpa membayar sebarang upah kepada mereka.
4.Semangat setiakawan yang tinggi. Saleh sanggup menemani Halim berjumpa dengan Abang Joe kerana dia bimbang akan keselamatan kawan baiknya itu. Saleh tidak meninggalkan Halim sendirian walaupun dia dipukul oleh konco-konco Abang Joe.
5.Kebijaksanaan seorang pegawai polis dalam menyiasat kes jenayah. Fariz bijak menyembunyikan identitinya dalam menyiasat kes Abang Joe. Dia memberitahu Halim kononnya dia seorang kerani di sebuah syarikat swasta supaya identitinya yang sebenar tidak terbongkar. Dia sering pergi ke tempat Halim bekerja untuk mengintip kegiatan Abang Joe dan konco-konconya.
6.Peranan pihak berkuasa dalam menangani kes-kes jenayah. Anggota polis yang diketuai oleh Fariz telah memberkas Abang Joe dan konco-konconya yang melakukan kegiatan jenayah seperti mengedar dadah, memeras ugut, dan sebagainya.
 

Watak dan Perwatakan
1.Watak utama dalam novel ini ialah Halim.
2.Watak sampingan terdiri daripada Saleh, Abang Joe/Johari, Fariz, ayah Halim, ibu Halim, ayah Saleh, ibu Saleh/Mak Minah, dan Mak Esah.

Halim
a.Halim anak tunggal dalam keluarga.
b.Halim berusia 15 tahun.
c.Halim terlalu mengikut kata hati. Dia sanggup lari dari rumah semata-mata kerana berkecil hati apabila ayah dan ibunya terlupa akan hari jadinya.
d.Halim mudah terpedaya. Halim terpengaruh oleh kata-kata Abang Joe yang telah menyelamatkannya daripada disamun. Dia percaya bahawa Abang Joe lelaki yang baik sedangkan Abang Joe hanya ingin memerangkap  remaja yang lari dari rumah seperti Halim.
e.Halim rajin bekerja. Halim rajin bekerja sebagai pencuci kereta walaupun Abang Joe tidak memberikan sebarang upah kepadanya.
f.Halim tabah menempuh dugaan semasa tinggal dengan Abang Joe yang tidak berperikemanusiaan. Abang Joe akan mengarahkan konco-konconya memukul Halim jika dia ingkar akan arahannya atau cuba melarikan diri.
g.Halim bersimpati kepada Saleh yang terpaksa berhenti sekolah kerana ayahnya tidak mampu menanggung belanja persekolahannya.

Saleh
a.Saleh merupakan anak sulung dalam keluarganya.
b.Saleh memahami kesulitan hidup keluarganya.
c.Saleh anak yang rajin. Setiap nhari dia membantu ayahnya menoreh getah sebelum pergi ke sekolah.
d.Saleh penyayang. Saleh amat sayang akan keluarganya sehingga dia sanggup berhenti sekolah kerana tidak mahu membebankan ayah dan ibunya serta ingin memberikan peluang kepada adik-adiknya belajar. Saleh juga sanggup pergi ke bandar untuk mencari pekerjaan demi membela nasib mereka sekeluarga.
e.Saleh mudah termakan pujuk rayu orang yang tidak dikenalinya.Saleh membatalkan niatnya untuk mencari kawannya, Abu semata-mata kerana terpengaruh olehkata-kata Abang Joe yang menawarkan pekerjaan yang dapat menjamin kehidupannya.
f.Saleh mempunyai semangat setiakawan yang tinggi. Dia sanggup menemani Halim berjumpa dengan Abang Joe dan tidak meninggalkan Halim sendirian walaupun dia dipukul oleh konco-konco Abang Joe.

Abang Joe/Johari
a.Abang Joe ketua sindiket haram. Dia mempengaruhi renmaja yang tidak berumah atau yang lari dari rumah supaya melakukan kerja-kerja haram untuknya seperti mencuci kereta, menjaga tempat letak kereta dan sebaginya.
b.Abang Joe pandai memperdayakan golongan remaja. Abang Joe pandai memperdayakan Halim dan Saleh. Dia berjanji untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang baik di ibu kota sedangkan tujuan sebenarnya hanya ingin memeras tenaga mereka.
c.Abang Joe kejam dan tidak berperikemanusiaan. Abang Joe sanggup mengarahkan konco-konconya memukul Halim dan rakan-rakannya jika mereka ingkar akan arahannya.
d.Abang Joe licik dalam menjalankan kegiatannya. Dia sukar dikesan oleh pihak berkuasa walaupun sudah menjadi pengedar dadah utama di ibu kota.

Fariz
a.Fariz tinggi lampai, berkulit sawo matang, dan berambut pendek.
b.Fariz pemurah. Dia selalu membelanjai Halim makan di gerai yang berhampiran dengan tempat Halim bekerja mencuci kereta.
c.Fariz bijak menyembunyikan identitinya. Dia memberitahu Halim kononnya dia seorang kerani di sebuah syarikat swasta padahal dia merupakan pegawai polis dari bahagian narkotik dan jenayah.
d.Fariz berani. Fariz berani mempertahankan Halim ketika Abang Joe memarahi Halim kerana makan bersama-sama dengannya.
e.Fariz bertanggungjawab. Dia telah menjalankan tugasnya untuk menyiasat kes jenayah yang dilakukan oleh Abang Joe dengan baik sehingga Abang Joe dan konco-konconya berjaya diberkas.


Latar
Latar Tempat

1.Tempat cuci kereta-tempat Halim bekerja mencuci kereta setelah dia diperangkap oleh Abang Joe.
2.Bawah pokok-tempat Halim meletakkan peralatan mencuci kereta dan tempat Halim duduk sementara menunggu pelanggan datang untuk mencuci kereta.
3.Sebuah lorong di ibu kota-tempat Halim merayau-rayau setelah tiba di ibu kota. Di tempat ini Halim hampir-hampir disamun oleh bberapa orang lelaki. Di sini jugalah Halim mula mengenali Abang Joe yang menyelamatkannya daripada menjadi mangsa samun.
4.Pondok usang-di pondok ini Halim dan rakan-rakannya yang senasib dengannya ditempatkan. Di sini jugalah Halim dan Saleh berkongsi cerita tentang kisah masing-masing. Mereka ke bandar sehingga akhirnya termasuk dalam perangkap Abang Joe.
5.Rumah Halim-tempat tinggal Halim sekeluarga. Di rumah ini Halim sering ditemani pengasuhnya, Mak Esah apabila ayah dan ibunya keluar bekerja.
6.Rumah Saleh-tempat tinggal Saleh sekeluarga. Di rumah inilah ayah Saleh memberitahu Saleh bahawa beliau tidak mampu menyekolahkan Saleh lagi. Di rumah ini jugalah Saleh memberitahu ayahnya bahawa dia sanggup berhenti sekolah. Malah, Saleh turut memberitahu ayahnya tentang hasratnya yang ingin mencari pekerjaan di bandar demi membela nasib mereka sekeluarga.
7.Gerai makan-gerai ini terletak berhampiran dengan tempat Halim bekerja mencuci kereta. Di sinilah Fariz membelanji Halim makan.
8.Sebuah pondok usang yang lain-Abang Joe menjadikan pondok ini sebagai tempat menyimpan dadah. Di sini jugalah Halim dan Saleh dipukul oleh konco-konco Abang Joe kerana Abang Joe tidak suka Halim berkawan dengan Fariz.

Latar Masa
1.Pada waktu siang-setiap hari Halim bekerja mencuci kereta setelah dia termasuk dalam perangkap Abang Joe.
2.Pada waktu pagi-Saleh membantu ayahnya menoreh getah sebelum pergi ke sekolah.
3.Pada waktu malam-Halim dan kawan-kawan yang senasib dengannya tidur di sebuah pondok usang.

Latar Masyarakat
1.Masyarakat remaja yang terlalu mengikut kata hati. Halim yang baru berusia 15 tahun sanggup lari dari rumah semata-mata kerana berkecil hati apabila ayah dan ibunya terlupa akan hari jadinya.
2.Masyarakat yang hidup dalam kesusahan sebagai akibat kemiskinin. Keluarga Saleh hidup dalam kemiskinan. Ayah Saleh tidak mampu menanggung belanja persekolahan Saleh.
3.Masyarakat yang berhati mulia kerana sanggup berkorban demi keluarga. Saleh sanggup berhenti sekolah kerana tidak mahu membebankan ayah dan ibunya serta ingin memberikan peluang kepada adik-adiknya belajar. Malah, Saleh sanggup pergi ke bandar untuk mencari kerja demi membela mereka sekeluarga.
4.Masyarakat yang sanggup mengambil kesempatan terhadap orang lain demi kepentingan diri. Abang Joe sanggup memperdayakan Halim dan rakan-rakannya. Abang Joe sanggup memperdayakan Halim dan rakan-rakannya. Dia mengugut Halim dan rakan-rakannya supaya bekerja mencuci kereta dan menjaga tempat letak kereta tanpa memberikan sebarang upah kepada mereka.
5.Masyarakat yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Abang Joe mengarahkan konco-konconya memukul Halim dan Saleh apabila mereka cuba melarikan diri.
6.Masyarakat remaja yang tabah menghadapi dugaan.Halim dan Saleh tabah menempuh dugaan hidup di ibu kota setelah mereka termasuk dalam perangkap Abang Joe.
7.Masyarakat yang mempunyai semangat setiakawan yang tinggi. Saleh sanggup menemani Halim berjumpa dengan Abang Joe dan tidak meninggalkan Halim sendirian walaupun dia dipukul oleh konco-konco Abang Joe.
8.Masyarakat ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja sehingga kurang memberikan perhatian terhadap anak. Ibu bapa Halim sibuk bekerja sehingga kurang memberikan perhatian terhadap Halim.
9.Masyarakat yang berusaha untuk membanteras jenayah. Fariz dan beberapa orang rakan sepasukannya telah menangkap Abang Joe dan konco-konconya yang menjalankan kegiatan haram seperti mengedar dadah dan memeras ugut.
10.Masyarakat yang sanggup memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan jenayah. Halim dan rakan-rakannya sanggup menjadi saksi dan memberikan keterangan tentang kegiatan jenayah Abang Joe di mahkamah. Sebagai akibatnya, kesemua penjenayah terbabit telah dijatuhi hukuman yang setimpal dengan kesalahan mereka.


NILAI 
  1. Kasih sayang. Contohnya, Saleh sayang akan keluarganya. Dia sanggup berhenti sekolah kerana tidak mahu membebankan ayah dan ibunya serta ingin memberikan peluang kepada adik-adiknya belajar. Malah, dia sanggup pergi ke bandar untuk mencari kerja bagi membela nasib mereka sekeluarga.
  2. Tabah. Contohnya, Halim dan Saleh tabah menghadapi dugaan semasa tinggal dengan Abang Joe yang tidak berperikamanusiaan dan akan mengarahkan konco-konconya memukul mereka jika mereka ingkar akan arahannya.
  3. Rajin. Contohnya, Halim rajin bekerja mencuci kereta walaupun Abang Joe tidak membayar sebarang upah kepadanya.
  4. Bersimpati. Contohnya, Halim bersimpati akan nasib Saleh yang terpaksa berhenti sekolah kerana ayahnya tidak mampu menanggung belanja persekolahannya.
  5. Setia. Contohnya, Saleh sanggup menemani Halim menemui Abang Joe. Dia tidak meninggalkan Halim sendirian walaupun dia dipukul oleh konco-konco Abang Joe.
  6. Bijak. Contohnya, Fariz bijak menyembunyikan identitinya sebagai pegawai polis dari bahagian narkotik dan jenayah dalam menyiasat kes Abang Joe.
  7. Baik hati. Contohnya, ayah Halim sanggup menanggung belanja persekolahan Saleh.
PENGAJARAN 
  1. Kita haruslah sayang akan keluarga kita. Contohnya, Saleh begitu sayang akan keluarganya. Dia sanggup berhenti sekolah kerana tidak mahu membebankan ayah dan ibunya serta ingin memberikan peluang kepada adik-adiknya belajar. Dia juga sanggup pergi ke bandar untuk mencari kerja demi membela nasib mereka sekeluarga.
  2. Janganlah bertindak terburu-buru. Contohnya, Halim yang bertindak terburu-buru keluar dari rumah semata-mata kerana berkecil hati apabila ibu dan ayahnya terlupa akan hari jadinya telah menjadi mangsa Abang Joe.
  3. Janganlah mudah percaya akan kata-kata orang yang tidak kita kenali. Contohnya, Saleh yang membatalkan niatnya untuk mencari kawannya, Abu semata-mata kerana terpengaruh oleh kata-kata Abang Joe yang menawarkan pekerjaan yang dapat menjamin kehidupannya akhirnya termasuk dalam perangkap lelaki tidak berhati perut.
  4. Ibu bapa perlu memberikan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada anak-anak supaya mereka tidak berasa terabai. Contohnya, ayah dan ibu Halim yang terlalu sibuk bekerja menyebabkan Halim berasa terabai dan bertindak lari dari rumah.
  5. Kita mestilah tabah menghadapi dugaan. Contohnya, Halim dan Saleh tabah menghadapi dugaan semasa tinggal dengan Abang Joe yang tidak berperikemanusiaan dan akan mengarahkan konco-konconya memukul mereka jika mereka ingkar akan arahannya.
  6. Kita haruslah belajar daripada kesilapan. Contohnya, Halim menyesal kerana bertindak lari dari rumah dan dia bertekad tidak akan mengulangi kesilapan itu.
  7. Kita haruslah mempunyai semangat setia kawan yang tinggi. Contohnya, Saleh sanggup menemani Halim berjumpa dengan Abang Joe kerana dia bimbang akan keselamatan kawan baiknya itu. Malah, Saleh tidak meninggalkan Halim sendirian walaupun dia dipukul oleh konco-konco Abang Joe.
  8. Kita perlu bijak dalam menyiasat sesuatu perkara yang menyalahi undang-undang. Contohnya, Fariz bijak menyembunyikan identitinya sebagai pegawai polis dari bahagaian narkotik dan jenayah dalam menyiasat kes Abang Joe.
  9. Kita hendaklah memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa untuk membenteras jenayah. Contohnya, Halim dan rakan-rakannya sanggup menjadi saksi dan memberikan keterangan tentang kegiatan jenayah Abang Joe di mahkamah.
  10. Kita harus membantu golongan yang memerlukan bantuan. Contohnya, ayah Halim sanggup menanggung belanja persekolahan Saleh

     

8 comments: